FB


bismillah....
assalamu'alaikum w.b.t...
suatu perkongsian setelah membacanya di dalam Berita Harian..
jom baca! 

"Hukum berdosa besar jika diguna tujuan mudarat"

KUALA LUMPUR: Hukum mempunyai laman sosial facebook adalah dosa besar dan dilarang dalam Islam, jika digunakan atas tujuan yang mendatangkan mudarat termasuk melemparkan fitnah, mencaci serta memburukkan orang lain. 
Sebaliknya, jika laman sosial itu digunakan menyampaikan maklumat benar dan berinteraksi dengan orang lain secara berhemah adalah diharuskan. 


Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini juga pernah melakukan sekatan terhadap pemegang akaun facebook yang dilihat memaparkan unsur dan bahan lucah selain kandungannya boleh menggugat ketenteraman awam. - Jurucakap SKMM

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, tidak menjadi masalah bagi seseorang mempunyai akuan laman sosial itu, malah facebook sendiri sebahagian daripada lambang kemajuan manusia dalam dunia penerokaan ilmu teknologi maklumat (ICT).

“Facebook satu rangkaian sistem dibangunkan atas tujuan komunikasi menyalur dan mendapatkan maklumat, kita tidak boleh sekat atau haramkan terus penggunaannya kerana ia memberi manfaat jika diguna atas kehendak yang baik.

“Selain itu, ia tidak mempunyai nyawa dan akal, sebaliknya digerakkan sendiri oleh manusia yang menggunakannya, apa pun hukumnya bergantung pada si pengguna bukan sistem itu, ” katanya ketika dihubungi semalam.

Kini, lebih 12 juta rakyat di negara ini pemegang akaun facebook, majoritinya berusia antara 16 hingga 35 tahun.
Laman SocialBakers.com sebelum ini melaporkan Malaysia kini pengguna facebook ke-17 ramai di dunia.

Selain itu, Abdul Syukur berkata, menjadi tanggungjawab pengguna memanfaatkan laman sosial berkenaan dengan perkara berfaedah, selain mengelakkan diri daripada terdedah dengan sebarang bentuk fitnah, cacian, provokasi yang boleh memudaratkan dan merosakkan ummah.

Sementara itu, jurucakap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, sehingga kini, pihaknya tidak diperuntukkan undang-undang khusus untuk menyekat pemegang akaun facebook yang melanggar norma disebabkan laman itu dibina dan dimiliki oleh firma di luar negara.

Katanya, pihaknya sekadar memaklumkan dan melapor kepada pemilik facebook supaya membuat sekatan terhadap laman sosial itu jika terdapat unsur yang mengancam keselamatan negara.

“SKMM sebelum ini juga pernah melakukan sekatan terhadap pemegang akaun facebook yang dilihat memaparkan unsur dan bahan lucah selain kandungannya boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.


















wallahu'alam...
sumber : Berita Harian

Semoga Bermanfaat | Sebarkan cintaNya

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...